30 December 2014

Coretan dari New Zealand

Views:

Saya merupakan salah seorang anggota badan NGO yang dikenali sebagai The Patriots dan hala tuju kami adalah seperti dinyatakan di sini. Usia The Patriots, TP, telah mencecah setahun bulan Disember ini dan saya dipelawa menyertai barisan penulis sejak Oktober lalu. Di sini saya ingin kongsikan tulisan terbaru saya di TP untuk bacaan anda. Untuk melihat komen para pembaca yang lain, anda boleh lawati artikel ini di page Facebook TP di sini.

 New Zealand boleh dikatakan terletak di hujung dunia. Berada di Lautan Pasifik, ia merupakan sebuah negara yang tidak bersambung dengan mana-mana negara lain secara geografi. Negara ini juga terbahagi kepada dua pulau utama: pulau utara (North Island) dan pulau selatan (South Island). Kawasan utara menempatkan bandar-bandar seperti Auckland dan Wellington manakala kawasan selatan adalah di mana terletaknya Christchurch, Queenstown dan Dunedin. Disebabkan faktor keterpencilannya, New Zealand menjadi antara daratan yang paling lewat didatangi manusia. 
Golongan terawal yang meneroka dan menetap di negara pulau ini merupakan orang Polinesia (membentuk bangsa Maori). Sekitar 1800, mereka menandatangani Treaty of Waitangi (Perjanjian Waitangi yang kekal hingga hari ini) bersama British lantas menjadikan New Zealand sebuah koloni (tanah jajahan) British. Dalam bahasa yang lebih mudah, situasi ini lebih kurang seperti yang berlaku dalam penubuhan Malayan Union—suatu usaha untuk meletakkan Malaya di bawah kekuasaan British. 
Terdapat banyak konflik berkisarkan perjanjian ini sehingga hari ini dan saya akan kupas kemudian. Bahasa rasmi di New Zealand adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Maori dan Bahasa Isyarat New Zealand (NZ Sign Language). Orang Eropah membentuk 74% daripada populasi penduduk diikuti orang Maori (+/- 14%), orang Asia (+/- 12%) dan sejumlah kecil orang dari Kepulauan Pasifik (digelar ‘Pasifika’) dan imigran lain. 
Disebabkan oleh kedudukannya yang terletak di hemisfera selatan, New Zealand mengalami musim panas dalam bulan Disember hingga Februari sekaligus menjadikan sambutan Krismas dirayakan dalam musim panas—berbeza dengan suasana Krismas yang biasa digambarkan di kebanyakan negara lain. Misalnya, ketika England mengalami musim bunga, New Zealand mengalami musim luruh, ketika England mengalami musim panas, New Zealand mengalami musim sejuk. New Zealand juga merupakan negara paling awal mengalami siang setiap hari dengan GMT+12 dan GMT+13 (ketika musim bunga dan panas).



[Udara Dan Makanan]
Faktor suhu dan kesegaran udara menjadikan makanan yang dimasak lambat basi. Min suhu tahunan adalah sekitar 10 darjah Celsius di South Island dan 16 darjah Celsius di North Island. Dengan kesibukan sebagai penuntut, penulis biasanya memasak untuk 3 hari sekaligus (penafian: bukan malas). 
Kami tidak perlu risau sekiranya makanan tersebut cepat basi. Pada suhu tipikal (merentasi semua musim), makanan berkuah seperti ayam masak lemak cili api dan kari ayam akan bertukar menjadi seperti ‘gel’ apabila sejuk (kira-kira sejam setelah tutup api). Suhu rendah sebegini merencatkan aktiviti bakteria jahat yang menyebabkan makanan rosak manakala lalat juga boleh dikatakan tiada.

[Air Percuma]
Air bersih disalurkan secara percuma di New Zealand. Ini bermakna tiada bil air setiap bulan. Antara faktor penyumbang adalah lokasi NZ yang dikelilingi lautan sejuk. Air yang disalurkan dijamin bersih dan boleh diminum secara terus dari pili tanpa keracunan.

[Pengasingan Sampah]
Hangat topik ni kan? Baru-baru ini kerajaan memaklumkan bahawa mulai tahun hadapan, rakyat Malaysia harus mengasingkan sampah domestik yang hendak dikutip. Di daerah penulis tinggal, kami mempunyai 2 jenis plastik sampah. Ya, plastik sampah pun ada pengkhususan. 
Tidak macam Malaysia, mudah saja, plastik pasaraya, pasar tani, pasar malam pun boleh jadi plastik sampah. Baiklah, plastik pertama berwarna hijau untuk sampah yang boleh dikitar semula (pengecualian bagi kaca). Kaca mempunyai tong khas untuknya. Plastik kuning pula untuk sampah lain-lain. Untuk menggalakkan budaya mengitar semula, plastik hijau diberikan secara percuma manakala plastik kuning mesti dibeli. 
Kedua-dua plastik adalah lutcahaya dan pekerja pengurusan sampah tidak akan mengutip sampah anda sekiranya terdapat barangan yang tidak boleh dikitar semula dibuang di dalam plastik kitar semula. Plastik selain daripada yang 2 ini tidak akan dikutip.

[Tenaga Elektrik]
Tidak seperti di Malaysia, penduduk New Zealand mendapatkan bekalan utiliti ini daripada syarikat yang berbeza-beza. Tiada satu entiti khas yang menyediakan perkhidmatan penyaluran elektrik ke rumah seperti TNB. 
Di sini, rakyat bebas memilih syarikat yang mereka inginkan berasaskan pakej dan kadar yang mereka kira berpatutan dengan penggunaan masing-masing. Analoginya seperti memilih telco di Malaysia. Pilih yang mana berkenan di hati. Dengan persaingan yang ada, satu pasaran yang sihat dan kompetitif terhasil lantas memberikan pengguna kuasa untuk memilih.

[Petrol]
Harga minyak adalah berbeza setiap hari, bergantung kepada harga semasa. Saat artikel ini ditulis, harga petrol 91-octane adalah NZD 1.94 (NZD 1= MYR 2.6). Harga harian dipaparkan di papan digital di setiap stesen minyak yang boleh dilihat oleh pengguna jalan raya. Penentuan harga petrol bersandarkan kepada beberapa faktor iaitu 1) harga pasaran antarabangsa 2) kos penghantaran ke New Zealand 3) kadar pertukaran matawang USD-NZD 4) cukai (eksais dan GST 15%).

[GST]
GST diperkenalkan pada 1 Oktober 1986 pada kadar 10% ke atas kebanyakan barangan dan perkhidmatan. Ia menggantikan cukai jualan sedia ada. GST merupakan sebahagian daripada reformasi ekonomi cetusan Menteri Kewangan, Roger Douglas. Sejak pengenalannya, sebanyak 2 kali kenaikan telah berlaku iaitu dalam tahun 1989 (12.5%) dan dalam Oktober 2010, ia dinaikkan kepada kadar sekarang 15%.

[Perkhidmatan Bas]
Wellington City merupakan suatu kawasan pusat bandar dan ibu negara yang tidak begitu besar. Dengan usaha mereka untuk terus memelihara alam semulajadi, jalan raya kebanyakannya adalah berbukit-bukau dan sempit diapit deretan blok kedai. Kenderaan persendirian tidak dibenarkan lalu di pusat bandar pada kebanyakan waktu. 
Bas adalah antara perkhidmatan awam yang paling menjadi pilihan orang awam tidak kira umur dan status. Suatu kad prabayar (Snapper Card) digunakan untuk menggalakkan budaya ‘cashless’. Ia juga memberikan lebih penjimatan berbanding bayaran tunai. Misalnya, anda bergerak dalam satu zon, tambang tunai adalah sebanyak NZD2 tetapi dengan Snapper, hanya NZD1.66 (17% diskaun). 
Sekiranya anda bergerak merentasi 2 zon, tambangnya adalah NZD3.50 tunai atau NZD2.72 (22% diskaun) menggunakan Snapper. Anda hanya perlu ‘tag on’ ala-ala Touch ‘n’ Go ketika melangkah masuk ke dalam bas dan ‘tag off’ apabila turun.
Sebagai sebuah negara yang mesra OKU, bas juga dilengkapi dengan teknologi dan rekaan yang ‘accessible’. Mereka yang berkerusi roda boleh menaiki bas tanpa perlu diangkat oleh sesiapa. Lantai bas boleh diturunkan separas dengan lantai tempat menunggu bas dan terdapat ‘jambatan boleh lipat’ yang menghubungkan bahu jalan dan lantai bas. Tempat duduk bagi mereka sudah tentu disediakan.
Perkhidmatan yang cekap dan tepat waktu membuatkan bas menjadi pilihan orang ramai tanpa keraguan. Di setiap hentian bas, terdapat jadual statik dan juga ‘live updates’. ‘Live updates’ akan menunjukkan nombor bas dan jumlah minit untuk sampai ke sesuatu hentian. 
Misalnya, penulis di hentian A.‘Live updates’ di sini akan menunjukkan nombor bas berserta jumlah minit yang tinggal (countdown) untuk bas tiba di hentian ini. Pengguna juga boleh merancang perjalanan melalui ‘journey planner’ sekiranya tidak biasa menggunakan bas. ‘
Journey planner’ membolehkan pengguna meletakkan titik mula dan titik akhir: aplikasi bas akan menyenaraikan hentian terhampir dengan titik mula, nombor bas yang hendak diambil, tempoh masa perjalanan, harga tambang, tempat turun sehinggalah panduan arah laluan untuk berjalan kaki sehingga tiba ke destinasi.

[Tanpa Tunai]
Semua perniagaan adalah menggunakan sistem debit sekalipun di pasar tani, di kiosk kecil ais krim dan di perpustakaan. Semua peniaga memiliki mesin debit dan pengguna pula memiliki kad debit. Wang tunai masih boleh digunakan tetapi jarang-jarang sekali menjadi pilihan orang ramai. Kami boleh dikatakan tidak pernah memegang ‘cash’ di sana kerana semua premis perniagaan menerima pembayaran kad debit.

[Undang-Undang]
Ini adalah satu bidang yang amat luas dan penulis bukanlah seorang penuntut jurusan undang-undang. Akan tetapi, penulis mempunyai serba-sedikit pengalaman menghadapi pelbagai peraturan dan undang-undang di negara penggambaran Lord of the Rings, The Hobbits dan The Chronicles of Narnia ini. Bagi mereka yang pernah melawat New Zealand, perkara pertama yang mendebarkan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, Wellington atau Christchurch tentunya kerenah polisi BIOSECURITY.
Prosedur biosekuriti di lapangan terbang dan pelabuhan adalah untuk mengelakkan serangga (perosak) dan penyebaran penyakit. Secara ringkas, berikut adalah petikan dari laman web Ministry of Primary Industries untuk memudahkan pemahaman anda mengenai system biosekuriti New Zealand dan sebagai rujukan sekiranya anda bercadang untuk masuk ke New Zealand (https://www.mpi.govt.nz/…/arriving-in-new…/items-to-declare/):
“Any of the items listed on this website page must be declared on your passenger arrival card and to an MPI quarantine inspector.
If you're in doubt about any items you're carrying – like:
• plants
• sporting and camping equipment – or any used equipment
• shells

• food
you should declare them on your passenger arrival card – or dispose of them in one of the bins provided at ports and airports.”

Kisahnya, menjelang semester baru universiti sekitar Februari 2014, penulis pulang ke New Zealand melalui Auckland. Segala borang untuk isytihar barangan telah diisi dalam kapal terbang dan disemak berulang kali. Sejurus mendarat, penulis menuju ke ‘Declaration Point’.
Tahap pertama, anda harus menyerahkan kad isytihar barangan kepada pegawai yang bertugas. Sekiranya tiada yang mencurigakan atau terlarang, anda akan terus ke kaunter imbasan elektronik kastam (prosedur biasa X-ray scan). 
Namun sekiranya ada sesuatu yang diisytihar itu meragukan atau bermasalah, anda akan dihantar ke pegawai untuk buka bagasi dan mereka akan menyemak barangan anda. Apa-apa yang terlarang akan dilupuskan dan anda akan terus ke kaunter imbasan X-ray. Tiada denda dikenakan.
Penulis melalui fasa yang pertama tadi- tidak perlu buka beg dan terus maju untuk imbasan X-ray. Di sini, penulis melepasi imbasan tersebut dan terus berjalan ke balai ketibaan. Tidak sampai 10 langkah, seekor anjing terlatih datang mendekati bagasi penulis dan menyalak tanpa henti. Akhirnya penulis dibawa kepada pegawai atasan dan disuruh membuka bagasi. Ternyata, terdapat satu kotak KFC berserta tulang ayam yang dimakan di dalam penerbangan tadi tidak dibuang atau tidak diisytihar. 
Tanpa berkata banyak, penulis terus diberikan ‘infringement notice’ atau resit saman bernilai NZD400 (lebih MYR1000) yang mesti dibayar dalam tempoh 2 minggu seingat penulis. Penulis dianggap telah menipu kerajaan kerana menyembunyikan kewujudan kotak berisi ayam KFC tersebut. Sekiranya diisytihar semasa di ‘declaration point’ tadi, denda tidak akan dikenakan.
Pengalaman kedua, penulis bersama rakan-rakan menyewa sebuah kenderaan 8-seater untuk ‘roadtrip’. Kami yang melebihi 8 orang pun memandu beberapa jam sebelum berhenti di stesen minyak. Tidak lama kemudian, satu kereta polis menghampiri kami dan menyoal siasat tentang jumlah penumpang dalam kenderaan. Undang-undang di sini, setiap seorang penumpang mestilah mempunyai satu tempat duduk sendiri dan ini bermakna, kereta yang 5 tempat duduk hanya boleh dinaiki 5 orang dan begitu juga dengan kereta 8 tempat duduk. 
Kami nyaris disaman tetapi sempat berunding dan terlepas daripada tindakan. Akhirnya, perjalanan tersebut dibatalkan dan kami menghantar ‘penumpang berlebihan’ ke stesen kereta api untuk pulang terus ke Wellington manakala bakinya kekal dalam kereta. Bagaimana polis tahu kami membawa penumpang berlebihan? Rupa-rupanya, ada pengguna jalan raya yang terlihat kami di atas jalan yang melaporkan kepada pihak polis. Kejadian ini berlaku semasa hari raya.
Pengalaman ketiga ini berlaku sebelum penulis pulang bercuti ke Malaysia awal bulan November lalu. Secara ringkas, penulis disaman lagi NZD40 (lebih MYR100) kerana memarkir kenderaan bertentangan arah. Jalan raya di sana sama seperti Malaysia iaitu pemandu di sebelah kanan dan pemanduan di laluan sebelah kiri. Kami tanpa ragu-ragu telah pun parkir kereta di bahu jalan laluan kanan tetapi muka kenderaan bertentangan dengan arah laluan jalan raya. 
Cara yang betul adalah, kereta yang diparkir di mana-mana laluan hendaklah menghadap arus laluan kenderaan (parallel to the traffic flow) sepertimana arah kenderaan semasa dalam pemanduan. Hanya kerana menongkah arus, wang melayang. Kami hanya akur walaupun di dalam hati memberontak. Hendak memberontak di negara orang, kami tiada kuasa. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

[Persekolahan]
Penulis merupakan pelajar jurusan pendidikan (Bachelor of Education in TESOL) dan kami kerap dihantar ke sekolah-sekolah tempatan untuk pemerhatian (kami yang memerhatikan, bukan diperhatikan). Sesekali kami mengajar kanak-kanak di sana. Melalui pemerhatian penulis dan perkongsian daripada guru-guru di sana, para pelajar membawa bekal dari rumah yang disediakan oleh ibu bapa dan kantin sekolah sememangnya tiada. 
Mereka bersarapan di rumah. Kelas bermula jam 9 pagi (8.40 pagi guru sudah mula mengambil kehadiran, pelajar berkongsi berita-berita menarik di dalam kelas seperti “I did bungee jumping last Saturday…it was awesome!” atau “last night my grandmother showed me how to knit” sambil bilik darjah dibersihkan. 
Mereka berhenti rehat untuk minum pagi selama 20 minit sekitar jam 11 pagi di dalam kelas berbekalkan makanan atau snek yang dibawa manakala untuk makan tengah hari, 40 minit diperuntukkan bermula sekitar jam 12.30. 
Baki masa yang tinggal selepas makan, para pelajar akan berlari di padang dan bermain dengan rakan-rakan di gelanggang. Pakaian seragam sekolah adalah sesuai untuk bermain dan kasut sekolah yang digariskan adalah kasut sukan (bukan ‘sneakers’ biasa). Sekolah tamat pukul 3 petang.


Tamat sudah perkongsian pengalaman daripada penulis. Tidak semua aspek dapat disentuh tetapi sekiranya pembaca mempunyai persoalan tertentu, boleh diajukan di ruangan komen.
Bagaimana pula dengan pengalaman anda semasa bercuti, membuat lawatan kerja atau tinggal di luar negara? Mari kongsikan bersama pembaca The Patriots yang lain, bak kata pepatah ‘jauh perjalanan, luas pengalaman’. 
Tidak semua insan berpeluang ke luar negara, tetapi pengajaran dan pengalaman yang berharga boleh dikongsi bersama. Semakin jauh kita berjalan, semakin kita menghargai tanah air sendiri. Seindah mana kehidupan di tempat orang, tanah tumpah darah ini juga yang dirindui selalu.

No comments:

Post a Comment

Show your wisdom.