04 January 2015

Umrah Part 3: Arrival in Jeddah and Road to Madinah

Views:

Click here for part 1 (preparation) and here for part 2 (departure).

Setelah 9 jam menaiki pesawat Saudi Arabia Airlines, kami mendarat di Jeddah kira-kira jam 7.30 malam. Di sana, kami turun secara berkumpulan dan menuju ke kaunter imigresen untuk pengesahan masuk ke Arab Saudi. Jemaah beratur mengikut mahram masing-masing kerana visa umrah yang dikeluarkan kepada wanita di bawah usia (45 tahun) adalah diproses bersama mahramnya. Proses di sini tidak begitu lama kerana kami datang berkumpulan dan mutawif dah 'bayar' pegawai untuk memudahkan urusan kami. Oh ya nama mutawif (pembimbing umrah) kami adalah Ustaz Azim Ali.
Selesai imigresen, ramai jemaah meluru ke tandas tetapi pengawal di situ marah sesiapa yang menunggu rakan atau keluarga di luar tandas kerana bagi mereka, penunggu-penunggu ini mengganggu lalu lintas. Namun alhamdulillah, meskipun semua orang di situ dihalau untuk terus berjalan ke hadapan, saya tidak pula disuruh berganjak. Saya kekal menunggu Mak, Mak Timah dan Chulan di luar tandas.

Selesai di tandas, kami menuju ke kawasan menuntut bagasi. Saya tak berapa ingat tapi rasanya cukup lama menantikan beg semua orang untuk muncul. Ini merupakan dugaan pertama buat kami. Masing-masing sudah mula hendak naik angin. Tidak cukup dengan itu, beg tarik Mak akhirnya menampakkan diri tetapi dalam keadaan cacat! 'Handle' penarik beg tu dah patah dan beg tak boleh ditarik langsung. Oh besar dugaannya. Beg bukan ringan ya.

Seterusnya kami keluar ke balai ketibaan dan pada masa ini, ahli kumpulan dah pun berpecah. Kami hanya tinggal berlapan serombongan. Tiada orang lain selain kami. Kira-kira 10 minit tercari-cari, ditambah dengan guard Arab yang sibuk asik suruh jalan (padahal kami di luar pagar, lengang, tiada orang lalu langsung) akhirnya kami pun akur dan terus berjalan. Kami tidak tahu pun ke mana arah yang kami pergi. Sekadar mundar mandir dan berjalan, akhirnya kami terlihat ahli kumpulan SV28 kami berdekatan dengan bas. Lega rasa hati dan terus kami menuju ke situ.

Semasa di dalam bas sebelum bas bergerak, ada Pak Arab naik ke atas dan menjual sim card kepada jemaah. Kami beli dengan SR40 sekeping untuk kami bertiga: Abah, Mak dan saya. Setelah itu, bas bergerak menuju ke Madinah. Ya Allah, perasaan saya masih bercampur-campur. Saya tidak tahu apa yang perlu saya rasakan. Kedinginan di dalam bas menambahkan perasaan tidak aman tersebut.

Seperti diberitahu oleh mutawif, kami akan berhenti solat jamak ta'khir di pertengahan jalan. Sementara itu kami turut diberikan makanan di dalam bas. Saya tidak ingat lokasi di mana kami berhenti tetapi kawasannya tidaklah sesempurna hentian di lebuhraya di Malaysia. Kami berhenti solat, mencari tandas dan sesudah itu kebanyakan jemaah mula menjamah hidangan makan malam berupa ayam penyet masakan Indonesia.

Saya tidak makan. Terasa tidak berselera. Saya hanya tidur di dalam bas dan fikir untuk makan setibanya di hotel Mubarak Silver, Madinah. Dingin. Itu satu-satunya yang saya masih ingat mengenai perjalanan menuju ke Madinah kerana perjalanan tersebut berlaku di dalam kepekatan malam.

Peta Arab Saudi.

Perjalanan dari Jeddah menuju ke Madinah mengambil masa kira-kira 6-7 jam. Kali pertama saya melihat Madinah dengan mata sendiri adalah ketika Mak mengejutkan saya dari tidur semasa bas mulai mendekati kawasan hotel. (Hotel adalah kira-kira 150 meter dari masjid).

"Adik, bangun. Adik, tengok Masjid Nabi dah nampak. Kita dah sampai Madinah".

Dada terasa lemah. Berderau. Menyedari hakikat bahawa saya sudah tiba di tanah haram Madinah yang menempatkan jasad Rasulullah, perlahan-lahan saya bangun dari ribaan Mak. MashaAllah. Subhanallah. Mulut hanya terdaya untuk senyum-- terharu. Air mata terus menitis. Bersyukur diberi peluang dan jemputan. Berbeza sungguh perasaan itu! Kalau anda baca pengalaman saya dari Part 1, tentunya tahu betapa bercampur baurnya perasaan saya. Tetapi tidak lagi, sejurus terlihatkan cahaya yang memancar dari Masjid Nabawi. Saya bingkas bangun, mengucapkan syukur dan tidah henti-henti memandang Masjid Nabawi sehinggalah hilang dari pandangan tatkala bas menyelinap ke celahan bangunan hotel.

"Assalamualaikum para tetamu Allah dan penziarah Rasulullah salallahu alaihi wasallam..."

Mutawif memulakan bicara. Ustaz mengumumkan ketibaan kami di tanah haram Madinah dan mengarahkan kami menuju ke hotel. Bagasi diangkat oleh pekerja hotel dan kami menunggu di lobi untuk mendapatkan kunci bilik dan beg. Allah.. Hati berbunga-bunga walaupun dalam keadaan letih dan mengantuk disebabkan perjalanan yang panjang dari Johor Bahru-Kuala Lumpur-Jeddah-Madinah. Hampir atau lebih 24 jam.

Disebabkan kami adalah berlapan, 4 lelaki dan 4 perempuan, kami dapat berkongsi bilik sesama sendiri. Setelah mendapat kunci, kami menuju ke bilik dan berbaring untuk seketika. Jam pada waktu itu adalah kira-kira pukul 3 pagi. 2 jam sebelum azan. Di sini, azan Subuh dilaungkan 2 kali iaitu sekali: sejam sebelum masuk waktu dan sekali semasa masuk waktu. Kami tidak tidur, sekadar bersandar sementara menunggu giliran ke tandas sambil-sambil mengemas beg dan menyediakan pakaian untuk ke masjid pagi itu.

Kisah seterusnya akan saya tulis dalam bahagian keempat siri Umrah ini inshaAllah.

No comments:

Post a Comment

Show your wisdom.